Tuesday, 3 May 2011

Tawakkal

Suatu masa dulu, tak ingat di mana, tapi pernah terbaca tentang tawakkal. Menurut penulis tersebut, tawakkal paling tinggi ialah bila seorang manusia itu tidak meletakkan pergantungannya kecuali kepada Allah 100%. Contoh-contoh yang diberi: Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s. ketika beliau sudah pun dicampak ke dalam api, sedangkan boleh saja beliau diselamatkan sebelum kezaliman itu dilakukan ke atasnya. Berkenaan Nabi Musa a.s. pula, boleh saja Allah selamatkan beliau dan Bani Israel sekelip mata. Tak perlu berlari-lari sampai tak cukup tanah kerana sudah tiba di hujung daratan. Tetapi sudah ketetapan Allah. Pada waktu itulah mukjizat diperlihatkan - laut terbelah dan Nabi Musa serta pengikutnya selamat sampai ke seberang.



Hmmm.. Mungkin antara hikmah peristiwa-peristiwa yang telah disebutkan ialah sebagai 'ibrah, bahawa Allah akan memberikan pertolonganNya yang agung, yang tidak disangka-sangka, pada ketika seseorang itu benar-benar dalam keadaan yang tertekan, dan tidak ada lagi jalan keluar atau pilihan baginya selain yang ditunjukkan Allah; dan pada ketika mana seseorang itu benar-benar dalam kepasrahan, redha atas apa saja yang bakal berlaku dan menyerahkan hidup matinya di tangan Allah tanpa sedikit pun lagi keraguan. Dalam peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Musa itu contohnya - pada siapa lagi hendak diharapkan pertolongan kalau bukan dari Allah? Kerana waktu itu mana-mana manusia pun tak boleh membantu. Api dan laut sudah terhidang di depan mata. Untuk berpaling ke belakang pun sudah tidak ada lagi harapan. Saat itu, tawakkal para hamba memuncak; dan Allah mendengar, kemudian mengabulkan doa-doa yang datang dari hati-hati mereka yang ikhlas, merasa kecil dan insaf.

Mungkin itulah juga yang berlaku, dari perihal Gaza yang sudah bertahun-tahun terkepung dari laut, darat dan udara; dibiarkan merana dan kelaparan sendirian. Ketika mana Mesir sang negara jiran bukan saja menutup rapat pintu sempadan Rafah, tetapi juga menanam cerucuk-cerucuk besi di bawah tanah untuk menghalang 'penyeludupan' bahan asasi dari dibawa masuk ke Gaza. Bila mana kita yang melihat dari jauh pun seakan sudah tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan untuk membantu para saudara. Saat itulah Allah tunjukkan kuasa pembelaanNya yang tiada tara. Siapa sangka, terbunuhnya Khaled Said menjadi percikan yang menggerakkan revolusi di Mesir, menjatuhkan rejim zalim Hosni Mubarak dalam waktu yang singkat sekali, dan hari ini kita mendengar berita gembira, bahawa pintu sempadan Rafah akan dibuka seluas-luasnya untuk Gaza, akhirnya! Dan dunia menyaksikan, Allah membela anda wahai Gaza! Berbahagialah duhai anak-anak yatim, anda tidak sendirian. Berbahagialah wahai para Syuhada'. Allah telah membeli barang dagangan anda! :') Dan tawakkal kalian yang sekian lama itu, tidaklah sia-sia.

morning has broken!


Demikian indahnya tawakkal. Bila manusia sudah buntu, Allah boleh membantu! Bila manusia tak tahu, Allah ada kunci jawapannya. Perjuangan Gaza, walau bagaimanapun, masih panjang dan berliku. Sama halnya dengan negara-negara Arab di sekitar - Syria, Jordan, Yaman dll. Tetapi kita tetap yakin bahawa setelah berlalunya gelap malam yang pekat menyesakkan, fajar pagi akan menyingsing terang menghalau pergi gelita dari alam. Dan bukankah waktu Subuh itu dekat? Maka wahai muda-mudi sekalian, sudah bersediakah kita, untuk menjadi pendokong fajar ini? Telah mantapkah hati-hati dan langkah kita, untuk menggempur kegelapan dengan segenap jiwa raga? Moga kitalah insan-insan terpilih itu. Allahumma harriril Masjidal Aqsa, waj'alna min junuudit Tahrir -Ya Allah bebaskanlah Masjidil Aqsa, dan jadikanlah kami antara tentera-tentera pembebasnya.

...Now, are we ready?

Nota: Cuti berbulan-bulan, jom update diri dengan berita pergolakan di Timur Tengah!

1 comment:

  1. Raed Salah says, Al-Thawrat Satuharrir Al-Quds:
    http://aljazeera.net/NR/exeres/C0C859BE-8D3C-42DD-A367-02762E4A2F17.htm?GoogleStatID=9

    ReplyDelete