Friday 29 April 2011

Perkahwinan Diraja

Buka yahoo, terlihat berita besar. Oh, lupa pula - Hari ini hari perkahwinan Putera William dan Catherine Middleton. Pasti ramai yang mengikutinya. Dan mungkin ramai juga yang mencemburui isteri putera raja England itu. Dalam ramai-ramai, dia yang terpilih, kan? Ha. Itulah namanya rezeki. Sewaktu Catherine masih kecil, siapa sangka, dia akan menjadi sebahagian dari ahli keluarga diraja England pada tanggal 29 April 2011. Semoga rezeki dan nikmat menjadi seorang muslim juga suatu hari nanti bakal dia kecapi. Ameen.

Berkenaan hal perkahwinan diraja ini, saya lebih senang memberi komentar dari kaca mata seorang MUSLIM. Oh, ada ya, cara untuk melihat berita dari perspektif Islam? Ha... Memang ada! Malah, antara agenda yang sering ada dalam usrah ialah sesi pembentangan isu-isu semasa, di mana ahli usrah akan berkongsi berita dan menganalisanya untuk diambil pengajaran, mengaitkannya dengan aspek spiritual dan keimanan, serta memikirkan solusi-solusi yang Islam tawarkan untuk permasalahan yang timbul darinya. Cantik kan? Ha... Jadi, tunggu apa lagi? Mari kita analisa berita yang sedang hangat ini! :) 


1. Buckingham Palace - tempat yang bakal diduduki oleh Kate dengan status barunya. Kita hanya boleh melihat betapa indahnya dan mewahnya istana eksklusif ini dengan gambaran-gambaran dari pakcik google. Oh, tak dapat dibayangkan bagaimana rasanya kalau dapat masuk dan melihatnya dengan mata kepala sendiri.. Alangkah! Sungguh banyak tempat-tempat yang cantik di atas muka bumi Allah. Tapi jangan pula kita lupa - segalanya hanya sementara. Kita singgah di sini, sekejap saja. Keindahan syurga lebih hebat lagi (infiniti kali!) dan yang terbaik, ia kekal abadi. Nikmat-nikmat di dalamnya juga tak akan pernah luput, dan tidak pula berlalu pergi. Mari target, sebuah istana di syurga! Mau?

2. Kita semua, kaya atau miskin, tua atau muda, datang dari ahli keluarga biasa, golongan bangsawan atau diraja, semuanya sama - Manusia juga. Kata Rasulullah s.a.w, kullukum banu Adam wa Adam min turab - Kamu semua adalah anak-anak Adam, dan Adam (berasal) dari tanah. Kerana itu, walau siapa pun kita semasa hidup di dunia, pengakhiran kita juga nantinya akan sama. Kita akan mengakhiri kehidupan yang singkat ini di dalam kubur, sebelum dibangkitkan semuanya untuk menghadap Pencipta kita yang Maha Agung. Maka sibukkanlah diri kita untuk saat perjumpaan denganNya, kerana itulah perkara terhebat yang boleh dijadikan sebuah matlamat.


3. Mari melihat ke belakang, menerobos sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w dan keluarga baginda. Baginda merupakan pemimpin kepada ummah ini seluruhnya. Baginda adalah penghulu alam ini. Sekiranya mahu digandingkan dengan semua pembesar-pembesar, pemuka-pemuka, pemimpin-pemimpin dan raja-raja sedunia yang pernah hidup dari zaman dulu sehingga kini sekalipun, baginda tetap tidak ada tolok-bandingnya. Membayangkan keagungan Baginda, pastilah orang tertanya-tanya, bagaimana agaknya majlis pernikahan puteri-puteri baginda? Adakah semisal atau lebih hebat lagi dari majlis perkahwinan Putera William dan Catherine yang dinanti-nantikan orang ramai dengan penuh keterujaan? Ha... nak tau? Mari kita lihat satu contoh dari buku 'Riwayat Hidup Puteri-puteri Nabi s.a.w karangan Prof. Dr. Aisyah Abdul Rahman (Terjemahan: Muhammad Baihaqi), iaitu dalam kisah berkenaan pernikahan puteri baginda, Fatimah dengan Ali r.a:

Disebutkan bahawa Ali tidak mempunyai sebarang harta selain dari sebuah pakaian perang yang kemudiannya dijual. Hasil jualan tersebutlah yang digunakan untuk membiayai segala keperluan perkahwinannya. Majlis pernikahan pula dijalankan dengan sederhana. Hamzah dan bapa saudara Ali yang lain masing-masing telah menyumbangkan seekor biri-biri untuk menjamu para tetamu yang datang. Fatimah seterusnya memasuki rumah baru dengan hanya berbekalkan selimut, bantal, penggiling gandum, dua biji gelas dan
beberapa botol minyak wangi.

Bagaimana.. Speechless tak - kalau kita melihat puteri kepada seorang pemimpin dunia hanya mempunyai majlis perkahwinan sedemikian rupa? Cukuplah itu sebagai salah satu dari bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bahawa Rasulullah tidak berlaku seperti kebanyakan pemimpin. Baginda tidak pernah mengaut keuntungan harta dunia - walaupun dengan tahap kecintaan semua muslim yang berada di sekelilingnya, dan dengan statusnya sebagai utusan Allah - boleh saja baginda dapatkan segala yang manusia impi untuk dirinya sendiri dan ahli keluarga baginda tanpa susah-payah dan dengan sekelip mata.

4. Apa perasaan seorang manusia agaknya, kalau diberi peluang berdamping dengan golongan raja-raja? Jadi tukang masak diraja saja pun dah nampak sangat hebat kan? Apatah lagi orang-orang yang hidup di sekeliling mereka. Pastilah hanya orang-orang yang sangat penting dan terpilih sahaja yang boleh berada berhampiran dengan mereka. Bagaimana pula dengan kita, yang Allah jemput untuk 'berjumpa' denganNya lima kali sehari dalam temu-janji solat? Bukankah suatu kehormatan dan kemuliaan pada kita yang bertaraf hamba? Ya. Allah, Raja kepada segala raja dan maharaja di dunia ini, mahu berjumpa dengan awak. Dengan kita semua. Lima kali sehari. Ingat tu ;)

Okay.. cukup empat poin. Moga beroleh manfaat!

*Terlanjur menulis tentang perkahwinan, kesempatan ini saya ambil untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada senior zaman sekolah dulu, k.Lina Mursyidah atas pernikahan. (walimahnya akan berlangsung esok hari). Moga rumah tangga anda dilimpahi mawaddah, sakinah dan rahmah! Barakallahu lakuma wa baraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair :)

No comments:

Post a Comment