Sunday, 7 July 2013

iman down, tak nak cakaplah...


Pernah tak lalui satu masa, yang mana kita kena sampaikan bahan dalam usrah, tapi hati kita kering? Atau kena sampaikan taujih, tapi kita rasa tak layak sebab sebenarnya saat itu, iman kita tengah 'down'? Atau seorang kawan meminta nasihat, tapi kita rasa kitalah yang paling memerlukan nasihat pada saat itu? Bila mana ada yang inginkan motivasi, harus terus memberi, walau sebenarnya semangat sedang melemah.



Memang sukar, lebih-lebih lagi bila teringat penangan ayat ke-2 surah Al-Saff.
Pekat. Pedih. Membunuh.

Tapi kadang langkahan itu harus digagahkan jua. Kerana menunaikan hajat saudara muslim yang memerlukan taujih itu yakin ada berkatnya. Kerana terus menyampaikan dalam usrah itu satu amanah. Kerana sebenarnya yang kita ketuk ketuk semasa memberi nasihat itu ialah diri kita sendiri! Dalam erti kata lain, kadang bila kita berhenti beraktivisme/memberi taujih hanya kerana merasa down/sedang dalam kegelapan, diamnya kita menyebabkan kerja dakwah kepada lingkungan kita terhenti, kita hilang semangat dan semakin jauh ditelan permasalahan yang terpendam serta tidak dibicara atau dibincangkan. Malah kemungkinan kita akan terus musnah sendiri. makan dalam. Oleh itu, bercakap tentang permasalahan kita secara tidak langsung lewat penyampaian/nasihat kepada orang lain itu mengelakkan kita dari larut/melalui masa 'kegelapan' tanpa ketukan/tersedar bahawa kita sememangnya sedang bermasalah!



Lain halnya bila kita paksakan diri keluar dan berjumpa, berbicara dengan akhawat yang meminta. Malah seringkali terjadi, pabila bercakap itu, akhirnya kita sedar bahawa yang sebenar-benarnya kita maksudkan dalam kebanyakan kata-kata itu ialah diri sendiri. Diri kitalah yang tertuju, yang termuhasabah, yang mati 'terbunuh' oleh senapang sendiri yang dibidik tepat pada hati. Dan kadang selepas tamat sesi berbicara, timbul semangat untuk memperbaiki keadaan. 

It felt like we are merely addressing ourselves, discussing with ourselves and trying to figure the way out with the help of others.

Jua sebenarnya kebersamaan dengan orang-orang yang bersih hatinya, yang membuka sepenuh jiwa raga untuk mendapatkan nasihat berkenaan deen ini apa adanya punya tempias tersendiri pada diri kita yang hina-dina. Allah memberkati seluruh isi majlis yang duduk-duduk dalam rangka cuba mengingat Allah, bukan?

Ya. Tidaklah saya nafikan bahawa situasi di atas ini sepatutnya tidak berlaku - Sang da'ie cuba menyampaikan mesej kebaikan/menasihati sang mad'u, sedang dia tahu: cawan yang kosong tak mungkin memberi pada yang lain. 

kalau cawanku kosong, akulah yang patut meminta. kan?

Tapi saya percaya bahawa bila deen ini menyeru kita agar menunaikan hak saudaranya (dlm kes ini: hak dinasihati apabila dia meminta nasihat). Seakan ia ingin memberitahu kita para du'at bahawa: walau apa pun keadaan kita (walaupun seluruh diri-diri du'at itu dalam keadaan hilang semangat/down), amalan amar ma'ruf nahi munkar - paling kurang - menerusi nasihat-nasihat yang baik itu mesti tetap berlaku! Bukankah kata Al-Rasul, "Al-deen itu ialah nasihat"? Dan untuk selamat, ummah kita tidak boleh sekali-kali keluar dari lingkungan ini. Biar walau dalam keburukan, diri-diri kita masih sudi saling menitip nasihat buat satu sama lain. Kita semua tak lepas dari kekurangan, kesilapan. tapi hakikat seorang saudara, memberi dan menerima dari saudaranya pada saya satu rahmat.

Gagahkan hatimu hai da'ie. Engkau tahu bahawa walaupun engkau sedang melemah, masih ada harapan yang ummah kalungkan, yang mesti cuba dipenuhi. Sebab itu engkau mesti bangkit selalu, dan berdiri. Ingatlah besarnya tanggungan ini, maka perbaikilah kesalahan dan kelemahanmu dengan amal-amal yang akan kembali mendekatkan diri kepada Allah.

p/s: Wajib perbaiki diri!

Disclaimer: Post ini saya tulis bukan secara muktamad. Ertinya, saya sebenarnya cuba mendapatkan pandangan lain dan berbincang berkenaan isu ini, memandangkan secara hakikatnya ia banyak berlaku di sekeliling kita, sesama kita. Sedang kita tahu bahawa ruh sebenarnya bagi da'ie ialah, aslih nafsak wad'u ghairak - islah diri anda, dan serulah yang lain. mari kita saling menasihat.

1 comment: